KUALA LUMPUR – Pasaran kerja menunjukkan perkembangan positif apabila kerajaan memaklumkan sebanyak 247,889 kekosongan jawatan bergaji RM3,000 ke atas ditawarkan sepanjang tahun ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, perkembangan itu menunjukkan peningkatan ketara peluang pekerjaan berpendapatan pertengahan dalam pelbagai sektor utama.
“Menurut data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari Januari hingga 14 November lalu, terdapat sebanyak 108,826 kekosongan aktif diiklankan di Portal MYFutureJobs, berbanding 464,534 pencari kerja aktif.
“Secara kumulatif, sebanyak 1.1 juta kekosongan jawatan diiklankan sejak Januari hingga 30 September 2025, berbanding 1.5 juta bagi tahun 2024,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, lima sektor utama menyumbang kepada lonjakan peluang pekerjaan bergaji RM3,000 ke atas iaitu maklumat dan komunikasi, aktiviti perkhidmatan pentadbiran dan sokongan, pembuatan, profesional serta kewangan dan insurans.
Sektor maklumat dan komunikasi mencatat jumlah tertinggi dengan 55,269 jawatan, diikuti perkhidmatan pentadbiran dan sokongan (34,391), pembuatan (33,866), profesional dan teknikal (24,849) serta kewangan dan insurans (21,459).
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Azli Yusof (PH–Shah Alam) yang ingin mengetahui jumlah pekerjaan baharu bergaji melebihi gaji pertengahan RM2,600 pada 2023 serta sektor penyumbang utama bagi 2024 dan 2025.
Menurut Abdul Rahman, bagi 2024 sebanyak 339,916 kekosongan jawatan menawarkan gaji RM3,000 ke atas, manakala tahun ini jumlahnya mencecah hampir 250,000.
Jawatan yang ditawarkan meliputi pelbagai bidang berkemahiran tinggi termasuk perunding aplikasi, pembangun pangkalan data SQL, pemborong perniagaan, pakar rantaian bekalan, perolehan serta perunding perisian.
“Statistik ini membuktikan pasaran pekerjaan negara semakin berkembang dan menawarkan persaingan lebih sihat, terutama kepada pencari kerja yang mahukan gaji melebihi paras gaji pertengahan,” katanya.- KOSMO! ONLINE.















