BEIJING – China mengecam keputusan Jepun meneruskan rancangan untuk menempatkan peluru berpandu di sebuah pulau berdekatan Taiwan sekali gus memburukkan pertikaian diplomatik yang berlarutan selama beberapa minggu.
Media Jepun semalam memetik Menteri Pertahanan Shinjiro Koizumi sebagai berkata, penempatan peluru berpandu yang dirancang di Pulau Yonaguni berjalan mengikut jadual.
“Penempatan ini boleh mengurangkan potensi serangan bersenjata ke atas Jepun,” kata Koizumi.
Hubungan Beijing-Tokyo renggang pada bulan ini, berikutan kenyataan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi. Beliau berkata, Tokyo boleh campur tangan secara ketenteraan dalam sebarang serangan ke atas Taiwan.
Kementerian Luar China hari ini berkata, penempatan peluru berpandu Jepun adalah ‘cubaan disengajakan untuk mencetuskan ketegangan serantau dan provokasi konfrontasi ketenteraan’.
“Ditambah dengan kenyataan Perdana Menteri Sanae Takaichi yang silap mengenai Taiwan, trend ini amat berbahaya dan memerlukan kewaspadaan tinggi daripada negara-negara jiran serta masyarakat antarabangsa,” kata jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning kepada pemberita.
Sejak 2016, pulau terpencil Yonaguni telah menempatkan pangkalan tentera Jepun.
Tokyo sebelum ini mengumumkan rancangan untuk menempatkan peluru berpandu jarak sederhana Jenis 03 untuk mempertahankan pulau itu daripada serangan misil udara-ke-darat dan pesawat musuh.
China menuntut Taiwan sebagai sebahagian wilayahnya dan mengancam untuk menggunakan kekerasan untuk merampas pulau itu jika perlu. – AFP














