fbpx
Gambar hiasan

Banjir makin buruk, 10,627 mangsa di 8 negeri terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Mangsa banjir terus meningkat apabila merekodkan seramai 10,627 orang daripada 3,779 keluarga di lapan negeri setakat pukul 9 pagi ini.

Kesemua mangsa ditempatkan di 69 buah pusat pemindahan sementara (PPS).

Menerusi laman web Info Bencana JKM pagi ini, Selangor dan Perak antara negeri terbaharu yang membuka PPS hari ini. Negeri lain yang terjejas adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Sarawak, Pulau Pinang dan Perlis.

“Jumlah mangsa tertinggi direkodkan di Kelantan apabila 35 PPS dibuka yang menempatkan 8,284 mangsa daripada 3,038 keluarga di Tumpat, Bachok, Kota Baharu dan Pasir Puteh.

“Di Perak, sebanyak 16 PPS dibuka melibatkan mangsa seramai 965 orang daripada 313 keluarga di Larut, Matang Dan Selama, Manjung, Batang Padang dan Perak Tengah,” katanya.

Di Terengganu, jumlah mangsa terjejas seramai 282 orang daripada 91 keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS di Besut. Di Kedah pula, seramai 344 mangsa berada di empat PPS di Kulim dan Kubang Pasu.

“Di Pulau Pinang, empat PPS dibuka di Seberang Perai Tengah dan Sebarang Perai Utara yang menempatkan 287 mangsa. Di Perlis, enam PPS dibuka dan 361 mangsa daripada 130 keluarga berlindung di daerah Padang Besar dan Kangar.

“Sementara itu, Sarawak merekodkan 44 mangsa yang ditempatkan di sebuah PPS di Miri manakala Selangor pula, 60 mangsa yang berada di dua buah PPS di Sabak Bernam,” ujarnya.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya (merah) di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan sehingga Selasa ini.

MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan tahap buruk dijangka berlaku di seluruh negeri Perlis serta beberapa daerah di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Selangor.

MetMalaysia memaklumkan, hujan berterusan tahap waspada hari ini diramal berlaku di sebahagian kawasan di Pahang dan Selangor manakala di Kelantan serta Terengganu sehingga Rabu ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN