PETALING JAYA – Ancaman keselamatan siber kini berkembang pesat dan organisasi memerlukan perisian automasi pintar bagi membantu pemain dalam industri ini mengurangkan risiko secara proaktif serta dalam masa nyata.
Bersandarkan isu tersebut, AmourZero telah menjalin kerjasama untuk mempercepatkan usaha syarikat untuk berdepan isu berkenaan dan mahu menguasai pasaran semasa sekali gus sekali gus memastikan penyelesaian dipacu kecerdasan buatan (AI) syarikat memberikan impak sebenar, khususnya dalam keselamatan aplikasi.
Pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif ArmourZero, Tho Kit Hoong berkata, kerjasama terbaharu ini juga akan membolehkan syarikat menembusi pasaran utama serta membina hubungan strategik dalam industri berpotensi ini.
“Perisian ArmourZero menangani jurang kritikal dalam keselamatan siber melalui pendekatan penyelesaian yang dipacu AI bagi melindungi semua aplikasi perniagaan.
“Pelaburan ini mencerminkan keyakinan terhadap teknologi kami dan potensi untuk menetapkan piawaian baharu dalam keselamatan aplikasi automatik di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
ArmourZero merupakan sebuah syarikat keselamatan siber yang menawarkan Pengurusan Kerentanan Automatik dengan cadangan pembaikan dipacu AI.
Syarikat itu menerima pelaburan strategik daripada Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia–Arab Saudi (MSBC), Kolonel (H) Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri.
Kit Hoong berkata, pelaburan berkenaan akan menyokong pengembangan ArmourZero di seluruh negara ASEAN dan rantau Asia Barat, yang sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk perusahaan serta meningkatkan kepercayaan pelanggan serantau.
“Kami sering disalah anggap sebagai syarikat yang hanya menjual semula perisian atau sekadar berorientasikan perkhidmatan, bukannya syarikat teknologi tinggi dalam bidang kerentanan keselamatan siber.
“ArmourZero terus memacu pelan hala tuju teknologi bagi menangani risiko perusahaan yang semakin berkembang.
Sebagai sebahagian komitmen untuk mengukuhkan ketahanan organisasi, syarikat akan melancarkan penyelesaian Keselamatan API bulan ini bagi menangani salah satu titik buta paling kritikal.
“Ia akan membantu pasukan pembangunan perisian dan keselamatan siber mengesan serta membaiki kelemahan berkaitan API secara automatik lebih awal.
“Ini sekali gus mencegah kebocoran data yang mahal sebelum menjejaskan operasi,” katanya. -KOSMO! ONLINE














