MELAKA – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka berada pada tahap kesiapsiagaan penuh untuk digerakkan ke mana-mana negeri yang dilanda banjir Monsun Timur Laut.
Kol. Bersekutu (PA) Mike Thein, Pengerusi Pegawai-Pegawai Bersekutu Korporat (PPBK) berkata, pasukannya telah menjalani latihan intensif termasuk kemahiran menyelamat di air, navigasi bot, penyelenggaraan enjin dan komunikasi kecemasan.
Katanya, pasukan itu juga sedang mempersiapkan bekalan asas seperti makanan dan barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir.
“Pasukan kami bukan sahaja pegawai tetap APM, malah terdiri daripada ahli perniagaan dan wakil komuniti yang menjalani latihan intensif bencana banjir.
“Kami bersedia untuk digerakkan dengan ke mana-mana negeri sekiranya situasi banjir menjadi kritikal,” katanya ketika ditemui selepas menerima sumbangan RM10,000 daripada Konica Minolta Business Technology yang disampaikan Pengarah Pengurusan, Naoto Uryu.
Mengulas lanjut beliau berkata, dana yang diterima itu akan digunakan untuk memperkukuh latihan dan kapasiti PPBK bagi meningkatkan keberkesanan operasi menyelamat.- KOSMO! ONLINE















