fbpx
Anggota keselamatan membantu mangsa yang terlibat banjir. - FOTO FACEBOOK ANWAR IBRAHIM

Anwar ikuti krisis banjir dari Kenya, semua aset diarah bantu mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keprihatinannya terhadap situasi banjir yang semakin memburuk meskipun beliau berada di Kenya bagi lawatan rasmi.

Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar berkata, lebih 15,000 mangsa di tujuh negeri kini terjejas dan beliau menerima laporan berkala mengenai keadaan semasa serta gerak kerja bantuan.

Menurutnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama semua aset agensi berkaitan telah digerakkan sepenuhnya ke kawasan terjejas bagi menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap serta memastikan bantuan segera sampai kepada mereka.

“Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga telah dikerah ke Kelantan yang paling teruk terkesan serta bersedia ke negeri-negeri lain bagi mempercepatkan operasi menyelamat dan bantuan kecemasan di lapangan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan turut menggerakkan Skuad Ihsan Madani ke semua kawasan terlibat untuk membantu menguruskan kebajikan mangsa di hampir 100 pusat pemindahan sementara yang telah dibuka di tujuh negeri.

Anwar turut menyeru penduduk di kawasan berisiko untuk kekal berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa, terutama apabila diarahkan berpindah.

“Dalam tempoh yang sukar dan mencabar ini, saya mendoakan agar semua mangsa banjir dikurniakan kekuatan, ketabahan serta dilindungi daripada sebarang kemudaratan.

“Semoga kita semua dipermudahkan dalam menghadapi ujian ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN