PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihoskan majlis makan malam oleh Presiden Kenya, William Samoei Ruto sejurus tiba di Nairobi semalam.
Anwar berkata, majlis yang berlangsung di Istana Negara itu meraikan persahabatan erat kedua-dua negara yang telah terjalin sejak lebih 60 tahun.
“Kami berdua saling memanfaatkan pentas ucapan dengan masing-masing meraikan persahabatan erat kedua-dua negara,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Perdana Menteri tiba di Nairobi malam tadi yang merupakan singgahan terakhir beliau dalam rangka lawatan rasmi ke tiga negara Afrika.
Pesawat dinaiki Anwar dan delegasi mendarat di State Pavilion Terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta.
Ketibaan mereka disambut oleh Ketua Protokol bagi Kenya Severine Luyali dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan, esok akan berlangsung mesyuarat dua hala Malaysia-Kenya.
“Presiden Ruto dan saya akan sama-sama menekuni serta meneroka peluang kerjasama yang ada di pelbagai bidang yang dekat dengan kedua-dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE















