SHAH ALAM – Penyanyi Datuk Elaine Kang mengundang perhatian ramai apabila memakai dres dengan taburan anak patung Labubu pada persembahan minggu keempat konsert Gegar Vaganza ke-12 (GV12) di sini, hari ini.
Pada konsert mingguan yang berlangsung di Auditorium MBSA hari ini, Elaine membuat persembahan bersama Dia Fadila menyampaikan lagu I Want To Spend My Lifetime Loving You dendangan asal Marc Anthony dan Tina Arena.
Anak patung Labubu dengan pelbagai warna dan karakter tersebut digantung pada dres hitam yang dipakainya.
Paling mencuit hati, anak patung Labubu tersebut turut diberikan kepada barisan juri, Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang, Datuk Syafinaz Selamat dan juga penonton.
Hetty bagaimanapun dalam komennya kepada Elaine meminta penyanyi tersebut terus berlatih untuk memantapkan lagi persembahan pada minggu akan datang.
“Saya suka kostum yang dipakai hari ini.
Tetapi Elaine, pertandingan tetap pertandingan, harap awak akan terus berlatih,” katanya.
Sebelum ini, Elaine pernah menyuarakan hasrat untuk menarik diri daripada bertanding di pentas GV12 namun dihalang oleh Ramli dan memberi kelonggaran dalam pemilihan lagu. – KOSMO! ONLINE














