KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga komestik yang juga pempengaruh media sosial mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.015 kilogram (kg) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Tertuduh, Abdul Rahman Mohamad Hussain, 36, atau turut dikenali sebagai Man Hidung membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Yusrin Faidz Yusoff.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 1.015 kg.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah premis perniagaan di Paya Keladi di sini, pada pukul 8.40 malam, 28 April lalu.
Abdul Rahman didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes tersebut pada 21 Disember depan.
Kosmo! 2 Mei lalu melaporkan aktiviti pengedaran dadah disyaki berselindung di sebalik perniagaan kosmetik berjaya dilumpuhkan berikutan penahanan seorang lelaki di Paya Keladi.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, serbuan pada pukul 8.40 malam itu berjaya merampas dadah jenis syabu dan aset-aset milik suspek disyaki mempunyai kaitan dengan kegiatan haram dengan nilai keseluruhan lebih RM1 juta. – KOSMO! ONLINE















