fbpx
Anwar ketika di Sidang Kemuncak G20.

Suara rantau Asia Tenggara terdedah risiko bencana perlu diberi keutamaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan suara rantau Asia Tenggara yang sekian lama terdedah kepada risiko bencana dan tekanan iklim mesti diberi keutamaan dalam hala tuju global, khususnya ketika dunia berdepan perubahan pantas serta cabaran tenaga dan iklim.

Beliau berkata, pengalaman ASEAN membuktikan bahawa daya tahan bukan hanya dibina ketika krisis, sebaliknya melalui pelaburan awal termasuk sistem amaran awal serta kerjasama rentas sempadan berasaskan nilai kemanusiaan.

Katanya, ketika negara anggota membincangkan masa depan iklim, pihaknya mengangkat satu hakikat yang tidak mampu disembunyikan di balik retorik mual, yakni bahawa tuntutan tenaga dunia masih belum selari dengan kemampuan teknologi bersih dalam mencapai matlamat tersebut.

“Dalam hal ini, kita mesti jujur, pragmatik dan berani. Lantaran itu, mesti ditegaskan di sini juga bahawa Malaysia sedang gigih melabur dalam teknologi yang mengurangkan jejak karbon dan dampaknya.

“Ia mencakup dari Sektor Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) hingga kepada rangkaian tenaga serantau, kerana ini jalan sebenar untuk memastikan peralihan tenaga tidak hanya tinggal slogan semata tetapi mesti menjadi jalur yang dapat ditempuh oleh rakyat terbanyak tanpa menanggung beban yang memeritkan,” katanya dalam satu hantaran di laman X di sini hari ini.

Anwar turut menegaskan pembangunan tidak akan bermakna sekiranya manusia diketepikan.

“Dunia memerlukan sistem kewangan iklim yang lebih adil, dukungan yang menyentuh nasib petani kecil, dan rangka kerja global yang tidak meminggirkan negara membangun jauh nun di belakang.

“Malaysia lantas komited untuk mencipta kerjasama di peringkat global atau serantau dalam memastikan ketahanan, keadilan dan kesejahteraan tidak hanya wacana yang berlegar di kalangan elit tetapi realiti bagi jutaan insan yang menaruh harapan pada apa yang diputuskan hari ini di Johannesburg, Afrika Selatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN