KUALA LUMPUR – Skuad hoki negara mensia-siakan kelebihan dua gol apabila sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang New Zealand pada aksi pembukaan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2025.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh , Perak sebentar tadi, Speedy Tigers bermula garang apabila mempamerkan aksi cukup baik menerusi kawalan bola dilakukan.
Malaysia membuka tirai jaringan pada minit ke-10 apabila penyerang, Shello Silverius melakukan larian ke dalam kawasan D sebelum menewaskan penjaga gol Black Sticks, Leon Hayward.
12 minit berselang, pasukan negara menggandakan kedudukan menerusi Syed Syafiq Syed Cholan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti (PC) sebelum Sam Lane merapatkan kedudukan 2-1 hasil pukulan penalti stroke dua minit kemudian.
Hasrat Malaysia untuk mengutip tiga mata berharga bagaimanapun tidak kesampaian apabila Thomas Dylan menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki dua minit.
“Perlawanan hari ini sangat sengit kerana mereka juga banyak melakukan serangan ke arah pintu gol kita. Saya memang nak bermain cemerlang hari ini kerana mahu menebus maruah tewas 3-4 kepada mereka pada Piala Negara-Negara.
“Memang silap saya untuk gol kedua (New Zealand) kerana tidak sepatutnya melepaskan gol tersebut. Selepas ini kita perlu memperbaiki kelemahan untuk aksi seterusnya,” kata penjaga gol pasukan negara, Muhammad Hafizuddin Othman. – KOSMO! ONLINE















