BALIK PULAU – Cubaan empat lelaki mencuri kabel di kawasan Botanica City, Jalan Sungai Air Puteh di sini tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka diberkas polis, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menerima panggilan orang awam mengenai sebuah Perodua Bezza berwarna coklat dengan empat lelaki berada dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah kedai tayar.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, sebaik anggota MPV tiba di lokasi suspek melarikan diri dan polis mengejar mereka sehingga menuju ke Jambatan Kedua.
”Beberapa pasukan bantuan turut digerakkan bagi memintas laluan suspek.
”Kereta dipandu suspek akhirnya terbabas di susur keluar Jambatan Kedua arah Seberang Perai Selatan dan tiga lelaki warga tempatan berjaya ditahan. Seorang lagi melarikan diri dan sedang dikesan,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, semua suspek yang ditahan bersama kenderaan digunakan dalam cubaan mencuri kabel itu dibawa ke IPD Barat Daya untuk siasatan lanjut.
”Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan atas cubaan mencuri serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya. -KOSMO! ONLINE















