fbpx
Tangkap layar keadaan tayar kereta pecah, namun masih dipandu oleh seorang lelaki tanpa mempedulikan pengguna jalan raya lain pada semalam.

Pemandu Range Rover hadir ke balai, alasan tayar pecah langgar lubang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis membuka siasatan berhubung video tular memaparkan sebuah kereta dipandu dalam keadaan berbahaya dan didakwa pemandunya berada di bawah pengaruh alkohol di Lebuhraya Sungai Besi menghala ke Taman Naga Emas.

Video berdurasi satu minit itu memaparkan sebuah Range Rover Velar bergerak dengan tayar belakang kanan dalam keadaan pecah dan hancur, sebelum tular di media sosial pada semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, hasil semakan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi.

“Pergerakan berbahaya kenderaan berkenaan turut dirakam oleh seorang penunggang motosikal sebelum kenderaan itu berhenti di kawasan persimpangan lampu isyarat Jalan Kuchai Maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu kereta merupakan seorang lelaki berusia 32 tahun telah hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada pukul 10.30 pagi, hari ini bagi membantu siasatan.

“Proses siasatan sedang dijalankan termasuk menjalankan ujian saringan air kencing dan EBA (Evidential Breath Analyzer) terhadap individu terbabit.

“Pemandu memberi alasan tayar pecah terlanggar lubang dan memandangkan kediamannya dekat maka pemandu memandu terus kenderaannya untuk pulang ke rumah” ujarnya.

Jelasnya, tangkapan terhadap pemandu akan dilakukan dan siasatan berhubung kejadian berkenaan sedang dijalankan oleh pihaknya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya.

Pihaknya turut meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Semalam, Kosmo! melaporkan, seorang lelaki tetap memandu kenderaannya walaupun bahagian tayar belakang telah pecah dan hanya bergerak menggunakan rim sahaja.

Kejadian yang berlaku di ibu kota itu menyaksikan seorang pemandu bersama dua lagi temannya memandu kenderaan utiliti sukan mewah dengan hanya menggunakan tiga roda bertayar lengkap. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN