KUALA LUMPUR – Pemandu sebuah utiliti sukan (SUV) jenis Range Rover Velar yang tular dalam media sosial selepas memandu dalam keadaan berbahaya didapati positif tiga jenis dadah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, lelaki berusia 32 tahun itu hadir ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada pukul 10.30 pagi tadi sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
“Ujian ‘evidential breath analyzer’ (EBA) menunjukkan bacaan 0mg/100ml, namun ujian saringan air kencing menunjukkan pemandu tersebut positif ketamin, amphetamine dan methamphetamine.
“Suspek kini ditahan di IPD Dang Wangi untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mengenai dua penumpang di dalam SUV itu, beliau berkata, ia masih dalam tindakan siasatan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis menyiasat satu video tular memaparkan sebuah SUV dipandu dalam keadaan berbahaya di Lebuhraya Sungai Besi menghala ke Taman Naga Emas di ibu negara.
Video berdurasi satu minit itu memaparkan Range Rover Velar bergerak dengan tayar belakang kanan pecah.
Polis mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8 pagi. Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. – KOSMO! ONLINE















