PETALING JAYA – Masih terdapat beberapa rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai, Thailand susulan banjir yang semakin memburuk di beberapa kawasan.
Menurut seorang pengguna Thread dikenali sebagai Akakkofei, hari ini merupakan hari ketiga dia terkandas di Hotel Leevana di Hatyai dan paras air masih belum susut.
“Aliran air kini jauh lebih laju, manakala keadaan cuaca masih hujan renyai-renyai tanpa henti.
“Bekalan elektrik telah terputus sepenuhnya.
Selain itu, sumber air bersih semakin susut dan bekalan makanan telah habis,” katanya.
Selain itu katanya, kenderaan yang dibawa memasuki Hatyai juga telah dimasuki air.
“Masih belum menerima sebarang respons daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Thailand,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna dikenali sebagai NurHidayah meminta orang ramai untuk terus sebarkan berita mengenai keadaan di Hatyai supaya bantuan dapat diberikan kepada pelancong Malaysia yang terkandas.
“Tragedi, datang dengan keadaan selamat tak hujan tak banjir; sampai Hatyai baru renyai-renyai. Dalam satu malam saja banjir sampai air masuk kereta.
“Jangan salahkan kami, tapi bantulah dengan sebarkan berita ini. Ada ibu dan anak-anak yang terkandas, capaian internet sangat sukar untuk kami berkomunikasi. Mohon bantu kami di CC Hotel Hatyai,” katanya. – KOSMO! ONLINE















