NICE – Olympique Marseille terus memberi tekanan kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam perebutan takhta Ligue 1 selepas membelasah Nice 5-1 pada perlawanan yang berlangsung di Allianz Riviera awal pagi semalam.
Perlawanan itu menyaksikan pemain sayap, Mason Greenwood terus mempamerkan aksi cemerlang menerusi dua jaringan dilakukan manakala tiga lagi gol hadir menerusi Pierre-Emerick Aubameyang, Timothy Weah dan Igor Paixao.
Jurulatih Marseille, Roberto De Zerbi gembira dengan aksi keseluruhan dipamerkan anak-anak buahnya, namun bekas pengurus Brighton itu percaya mereka sepatutnya menampikan corak permainan lebih baik
“Memang saya mengharapkan perlawanan seperti ini kerana kami berdepan sebuah pasukan yang cukup kuat. Secara jujur, kami boleh bermain lebih baik kerana saya agak kurang berpuas hati dengan aksi keseluruhan.
“Bukan saya mahu berbangga tetapi permainan kami sebenarnya lebih baik berbanding hari ini (semalam). Bagaimanapun, saya tetap gembira kerana kami berjaya membawa pulang tiga mata penting,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menghamburkan pujian kepada Greenwood yang terus mempamerkan aksi konsisten pada saingan musim ini dan percaya bekas tonggak Manchester United itu hampir menjadi pemain sempurna.
“Bagi saya, dia memiliki kekuatan mental cukup tinggi kerana kita semua tahu dia berdepan kecederaan panjang sebelum ini. Tahun ini, dia kembali dengan aksi cukup baik dan menjadi pemain kunci buat Marseille,” ujar De Zerbi. – AGENSI















