KOTA KINABALU – Sabah FC mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk memastikan kemenangan 3-2 ke atas Penang FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas, sebentar tadi.
Pertahanan kebangsaan, Daniel Ting muncul wira buat The Rhinos selepas berjaya menyambut sepakan penjuru Stuart Wilkin sekali gus menafikan dua jaringan pasukan pelawat menerusi Dylan Wenzel Halls.
Terdahulu, perlawanan bermula agak perlahan sehingga Wenzel Halls membuka jaringan buat Penang FC pada minit ke-17 namun kelebihan itu hanya bertahan lima minit, menyaksikan Ajdin Mujagic meledak jaringan penyamaan buat Sabah FC.
Minit ke-39, kesilapan pertahanan Sabah FC membuka peluang buat Wenzel Halls yang sekali lagi menyerlahkan ketenangan untuk menyempurnakan jaringan kedua Penang FC.
Sepuluh minit selepas aksi bersambung, Jafri Firdaus Chew melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk menghasilkan gol kedua Sabah FC sebelum Daniel Ting meledak gol ketiga tuan rumah pada minit ke-71.
Walaupun hujan lebat, permainan selepas itu bertambah menarik namun tiada sebarang tambahan jaringan mampu dihasilkan.
Di Stadium Negeri, Pulau Pinang, Imigresen FC berkenduri gol apabila membelasah PDRM FC 5-0.
Elvis Kamsoba menyumbangkan dua gol diikuti satu jaringan daripada Fadzrul Danel, Joao Pedro dan Fayadh Zulkifli. – KOSMO! ONLINE















