MELAKA – Sebuah keluarga dari Melaka nekad mengharungi banjir menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk keluar dari kawasan terjejas di Hatyai, Thailand, selepas hujan di lokasi itu tidak menunjukkan sebarang tanda akan berhenti.
Muhammad Hazwan Zammizi, 29, berkata, dia dan sembilan ahli keluarganya yang lain bagaimanapun lega apabila kenderaan itu merupakan milik salah seorang daripada mereka, sekali gus menjimatkan kos sewaan pikap yang ketika ini mencecah 40,000 baht, bersamaan kira-kira RM5,000.
Katanya, keputusan meredah banjir itu dibuat selepas pihak berkuasa tempatan membenarkan kenderaan untuk melalui jalan terjejas banjir.
“Mujur keluarga kami ada yang bawa pacuan empat roda, jadi kami tidak perlu sewa kerana difahamkan kadar sewa pikap yang dikenakan penduduk tempatan ketika ini mencecah 40,000 baht.
“Tapi masih ramai rakyat Malaysia lain yang terperangkap di sana (hotel di bandar Hatyai),” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Katanya, mereka kini menuju ke sempadan untuk memastikan keselamatan dan memudahkan sebarang bantuan sekiranya diperlukan.
“Kami tak tahu nak buat apa dah. Pihak berkuasa tempatan masih tidak muncul membantu memindahkan rakyat Malaysia sehingga pagi tadi.
“Kami cuba bergerak perlahan-lahan, namun keadaan seperti akan terkandas semula dengan jarak pintu sempadan kira-kira 40 kilometer lagi,” kongsinya.
Terdahulu, keluarga tersebut tiba di Hatyai kelmarin dan terkandas di hotel penginapan mereka apabila kawasan sekitar bandar itu ditenggelami banjir sejak awal pagi semalam. – KOSMO! ONLINE














