PETALING JAYA – Lebih 300 peserta memenuhi laluan ikonik sekitar ibu negara menerusi program Kayuhan Amal Mesra Wilayah Persekutuan 2025 anjuran Kelab Berbasikal Bandaraya Kuala Lumpur dengan sokongan Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, hari ini.
Urus Setia Kayuhan Amal Mesra Wilayah Persekutuan 2025 dalam kenyataan memaklumkan, acara yang memasuki tahun kedua itu turut mendapat tajaan utama daripada Aras Integrasi Sdn. Bhd., selain kerjasama rakan strategik Nichimen Resources Sdn. Bhd. dan Wow Media Sdn. Bhd.
Menurut Penasihat Penganjur, Datuk Zulkifly Ibrahim, penganjuran tahun ini lebih istimewa kerana melibatkan kerjasama penuh dengan Ahli Parlimen Lembah Pantai sekali gus menjadikan kawasan itu sebagai lokasi pelepasan dan penamat kayuhan.
Majlis pelepasan disempurnakan oleh Ahmad Fahmi bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Jelas kenyataan tersebut, kayuhan sejauh 25 kilometer itu melalui hampir 90 peratus laluan dalam kawasan Parlimen Lembah Pantai termasuk Muzium Negara, Masjid Negara, Taman Botanikal, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Bukit Aman.
“Kayuhan ini disertai lebih 300 peserta berbilang bangsa dan pelbagai peringkat umur serta juga disertai dengan bersama-sama bekas-bekas atlet berbasikal kebangsaan.
“Kita dapat lihat juga pelbagai jenis basikal yang ditunggang peserta. Acara ini adalah satu simbolik keharmonian dan perpaduan menerusi aktiviti riadah berbasikal berkonsepkan muhibah, penyatuan, dan kekeluargaan,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, objektif penganjuran program tersebut termasuklah memupuk semangat perpaduan dan silaturahim warga kota, menerapkan gaya hidup sihat, mendekatkan pemimpin serta rakyat melalui aktiviti amal selain menjadikan ia sebagai acara tahunan ikonik di Wilayah Persekutuan.
Selesai kayuhan, sesi cabutan bertuah berlangsung meriah dengan pelbagai hadiah ditawarkan termasuk sebuah motosikal, skuter elektrik, peralatan elektrik, baucar hotel dan peralatan sukan. – KOSMO! ONLINE















