MUNICH – Kelab gergasi La Liga, Barcelona dilaporkan memasang impian besar untuk menandatangani penyerang Bayern Munich, Harry Kane pada jendela perpindahan tahun depan walaupun masih bergelut dengan masalah kewangan yang serius ketika ini.
Menurut laporan media Sepanyol, nama Kane hangat diperkatakan sebagai calon utama untuk menggantikan posisi yang bakal ditinggalkan oleh penyerang veteran, Robert Lewandowski apabila kontraknya berakhir pada Jun tahun depan.
The Catalah yang dikendalikan oleh Hansi Flick telah mencadangkan nama Kane ke pengurusan tertinggi, tetapi segala keputusan bergantung dengan ‘kantung’ kewangan pasukan nanti.
Sumber rapat kelab Bayern, Christian Falk mendedahkan Barcelona setakat ini hanya mampu untuk menyatakan minat ‘kosong’ kerana tiada keupayaan kewangan untuk menebus klausa kontrak Kane mencecah €65 juta (RM330 juta).
“Barcelona memang berhasrat untuk mendapatkan Kane kerana Lewandowski dijangka meninggalkan Barcelona pada jendela tahun depan ke Amerika Syarikat (AS) dan sukar untuk mereka tawarkan kontrak lanjutan kepadanya.
“Jika mereka perlukan penyerang baharu, Barcelona sangat minat dengan Kane, tetapi masalah utama sekarang adalah kos yang perlu dikeluarkan.
“Klausa kontrak Kane dilaporkan mencecah €65 juta, manakala gajinya pula sekitar €25 juta setahun (RM125 juta).
“Barcelona memang tak ada aliran tunai tetapi jika pasukan perlu lagi bayar gaji Lewandowski, segalanya tidak mustahil dan Januari depan adalah masa penentu segalanya,” katanya. – AGENSI















