fbpx
Ahmad Zahid (kiri) melawat reruai pameran pada Majlis Perasmian Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2025 di Dewan Dato’ Lope Hashim, Bagan Datuk hari ini. - Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI

Kerajaan gerakkan usaha bawa pulang 4,000 rakyat Malaysia terjejas banjir di Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAN DATUK – Kerajaan sedang menggerakkan usaha untuk membawa pulang kira-kira 4,000 rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir di Hatyai serta beberapa daerah lain di wilayah Songkhla, Thailand.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, maklumat terkini sedang diperoleh dari Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bagi mengenal pasti rakyat negara ini yang masih terperangkap, termasuk guru dan 40 pelajar.

Katanya, koordinasi akan dijalankan bersama Kementerian Luar dan kerajaan Thailand untuk memastikan bantuan segera disalurkan sekali gus membolehkan semua yang terlibat pulang ke tanah air secepat mungkin.

“Banjir dijangka surut tengah hari ini dan kita berharap para pengunjung dapat memberikan kerjasama kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla untuk urusan membawa mereka pulang,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Jelajah Wow Zoomers Agenda Nasional Malaysia Sihat bersama MyChampion Bagan Datuk, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga sedang menilai keperluan menyediakan kenderaan berat bagi membawa pulang rakyat sekiranya keadaan banjir di wilayah itu semakin memburuk

“Konsul Jeneral akan mengemaskini maklumat mengenai keadaan di sana dan (jika keadaan buruk) mungkin kita sediakan kenderaan berat supaya mereka dapat pulang ke kawasan masing-masing,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, beliau menasihatkan penduduk yang tinggal di lokasi berisiko banjir untuk mematuhi amaran dan berpindah tiga hari lebih awal daripada jangkaan berlaku luruan hujan luar biasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN