SHAH ALAM – Impian sepasang kembar untuk berkongsi pentas konvokesyen bersama akhirnya menjadi nyata apabila kedua-duanya menamatkan pengajian dalam program sama di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan keputusan cemerlang.
Nurul Anis Syazwina Mohd. Nasir dan Nurul Anis Syazwana, 23, masing-masing memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.56 dan 3.71 dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran setelah masing-masing memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.56 dan 3.71.
Di peringkat Diploma, Anis Syazwina yang merupakan adik memperoleh CGPA 3.64 manakala kakaknya pula mendapat 3.61.
Mengimbau kembali detik awal pengajian, Anis Syazwina mengakui mereka hampir ‘terpisah’ apabila UiTM pada mulanya menawarkan dua program berbeza iaitu Diploma Perakaunan dan Diploma Sains pada 2020.
“Kami kemudian buat rayuan supaya dapat belajar dalam program sama dan Alhamdulillah, permohonan itu diluluskan. Kami akhirnya ditempatkan dalam Diploma Pentadbiran Awam.
“Lebih menarik, kami turut belajar di kampus sama iaitu UiTM Seremban 3 daripada peringkat diploma sehingga ijazah sarjana muda,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-103 di UiTM Shah Alam, di sini.
Katanya, dia dan Anis Syazwana hanya mula mengikuti kuliah secara fizikal pada semester akhir diploma kerana pembelajaran pada waktu itu dijalankan sepenuhnya secara dalam talian (ODL) susulan pandemik Covid-19.
Sementara itu, Anis Syazwana berkata salah satu faktor penting membantu mereka mengekalkan prestasi cemerlang ialah memilih ahli kumpulan yang berdisiplin dan komited dalam tugasan berkumpulan.
“Sejak Diploma lagi saya bersyukur kerana mendapat rakan sekumpulan yang beri kerjasama penuh dan komitmen tinggi,” katanya yang kini bertugas di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kwasa Damansara. – KOSMO! ONLINE















