fbpx
Pelajar meredah banjir selepas kawasan UMK Kampus Kota di Pengkalan Chepa, Kota Bharu terjejas banjir. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

‘Ibu bapa jangan risau, pelajar UMK terjejas banjir dijaga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota di Taman Bendahara di sini dibenarkan mengikuti pengajian secara dalam talian bermula hari ini selepas kawasan kampus universiti itu terjejas banjir.

Naib Canselornya, Datuk Dr. Arham Abdullah berkata, kesemua pelajar terlibat ditempatkan di tingkat atas kolej kediaman dan pihak UMK terus melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan dan bekalan makanan sentiasa mencukupi.

Katanya, bagaimanapun, pelajar yang tinggal di rumah sewa telah dipindahkan ke Fakulti Vaterinar, Padang Tembak di sini selepas penempatan mereka ditenggalami air.

“Ibu bapa pelajar tidak perlu risau kerana tahap keselamatan anak-anak mereka sentiasa menjadi keutamaan. UMK sudah mengeluarkan arahan supaya pelajar ini tidak keluar dari bilik masing-masing.

“Sekiranya keadaan bertambah buruk, kesemua pelajar dipindahkan ke Fakulti Vaterinar yang dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau situasi terkini banjir di UMK Kampus Kota disini hari ini.

Arham memberitahu, hasil pemantauan yang dilakukan mendapati paras air di kawasan itu naik kepada 0.6 meter setakat ini.

Katanya, selain itu, UMK sudah mengaktifkan bilik gerakan banjir sejak dua hari lalu bagi memastikan kelancaran operasi bantuan.

“Setakat ini dua lagi kampus UMK iaitu di Bachok dan Jeli tidak terjejas dengan banjir. Hujan lebat berterusan menyebabkan banjir kali ini lebih buruk berbanding tahun lalu.

“Kampus Kota sudah menjadi sinonim dengan banjir disebabkan air hujan. Ini kerana di kawasan Taman Bendara, UMK Kampus Kota berada pada kedudukan paling rendah,” ujarnya.

Arham berkata, lima buah pam yang disediakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran berfungsi dengan baik, namun kuantiti hujan yang banyak menyebabkan kawasan itu l dinaiki air.

“Selain pelajar, pensyarah dan kakitangan turut dibenarkan bekerja dari rumah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI