fbpx
VERSTAPPEN berjaya menguasai perlumbaan di Las Vegas untuk menyekat Norris meraih kemenangan ketiga berturut-turut. - AFP

F1: Verstappen sekat hasrat besar Norris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAS VEGAS – Pelumba sensasi Red Bull, Max Verstappen kembali mencipta kemenangan apabila menakluk perlumbaan Grand Prix (GP) Las Vegas semalam, sekali gus menyekat Lando Norris untuk mencipta kemenangan ketiga berturut-turut musim ini.

Biarpun sekadar memulakan perlumbaan di petak kedua, ia sama sekali tidak menggugat keyakinan Verstappen untuk memberikan tekanan maksimum kepada Norris sebaik lampu hijau dinyalakan.

Verstappen berjaya memintas pemandu sensasi McLaren, Norris seawal selekoh pertama di litar jalanan ‘Sin City’ biarpun pelumba Britain cuba bertindak agresif mempertahankan kedudukan petak utama.

Tindakan tersebut memakan diri apabila Norris terbabas sedikit keluar trek akibat membrek terlalu lewat, membolehkan Verstappen dan pelumba Mercedes, George Russell memintasnya.

Verstappen kemudiannya terus mengawal rentak perlumbaan dengan tenang sehingga ke garisan penamat untuk merekodkan kemenangan ke-69 dalam kariernya.

“Cukup indah, itu sahaja,” kata Verstappen menerusi radio pasukan sejurus tamat perlumbaan.

Bagaimanapun, penamat di tempat kedua sudah memadai buat Norris untuk terus mengukuhkan cengkaman dalam pemburuan gelaran dunia pertamanya.

Keputusan positif itu membolehkan Norris melebarkan jurang mata dengan pencabar terdekat yang juga rakan sepasukannya, Oscar Piastri yang menamatkan saingan di tempat keempat.

Norris kini selesa meneraju carta kejuaraan dengan 408 mata, manakala Piastri mengumpul 378 mata. Verstappen pula kekal di tangga ketiga dengan 366 mata.

Berbaki dua pusingan di Qatar dan Abu Dhabi serta maksimum 58 mata untuk direbut, Norris kini dilihat berada di landasan tepat untuk menoktahkan musim 2025 sebagai juara dunia baharu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI