LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Thomas Frank memasang impian besar untuk menyaksikan para pemainnya mampu mencetuskan ‘kekalutan’ di Emirates dalam misi menyekat Arsenal untuk terus selesa di puncak.
Arsenal ketika ini memiliki kelebihan empat mata sebagai peneraju selepas 11 perlawanan dengan hanya satu kekalahan menyebabkan Spurs percaya mereka perlu menghalang situasi tersebut.
Frank mengakui peluang meraih kemenangan ke atas Arsenal perlu dicapai oleh pasukan itu yang ketinggalan lapan mata berbanding pendahulu itu untuk merapatkan jurang selain memperbaiki kedudukan apabila menghuni tangga kelima ketika ini.
“Apa yang menariknya, saya dan Mikel pasti mahu memastikan pasukan masing-masing mengawal permainan pada aksi kali ini dan itu pastinya menjadi ‘pertempuran’ yang hebat. Saya tidak ada jangkaan lain kecuali ia akan menjadi aksi yang sukar,” katanya.
Selepas tiba di Spurs menggantikan Ange Postecoglou, ramai pemerhati berpendapat bahawa Frank adalah pengendali yang lebih pragmatik dan menjadikan pasukan itu lebih tersusun serta memiliki kekuatan dari aspek situasi bola mati.
Selepas berjaya mencuri satu mata ketika menyekat keinginan besar Manchester United untuk menang sebelum ini, kemampuan Frank akan sekali lagi teruji menjelang aksi derbi London kali ini yang dianggap istimewa oleh para peminat Spurs.
“Kami tidak mahu perlawanan ini beraksi 0-0. Ia mungkin berakhir tanpa jaringan, tetapi kami akan sentiasa cuba untuk memenangi perlawanan,” jelasnya. – AGENSI















