LONDON – Menjelang aksi derbi London menentang Tottenham Hotspur di Emirates tengah malam ini, pengendali Arsenal, Mikel Arteta meletakkan harapan besar buat barisan pemain tengah untuk memberikan aksi berkelas tinggi.
Selepas kehilangan dua pemain tonggak di benteng pertahanan, Gabriel Magalhaes dan Ricardo Calafiori, Arteta perlu memikirkan formasi yang lebih ampuh terutama membentuk kumpulan pemain tengah yang efisien membantu benteng dan bahagian serangan.
Situasi itu menyebabkan pengurus dari Sepanyol itu meletakkan harapan besar buat pemain tengahnya, Martin Zubimendi untuk memberikan aksi terbaik selepas menyifatkan prestasi pemain itu yang cukup cemerlang membantu pasukan setakat ini.
“Dia adalah pemain yang terbaik. Untuk membandingkannya dengan pemain lain, saya fikir tidak adil kerana saya fikir setiap pemain ada kualiti masing-masing.
“Impak yang diberikan oleh Zubi kepada pasukan ini tidak boleh dipersoal. Apa yang dilakukan bersama Arsenal setakat ini cukup luar biasa dan itu yang kami inginkan. Dia bermain dengan konsisten dan membantu pasukan,” katanya.
Setakat musim ini, Zubimendi memiliki statistik yang cukup baik terutama menyempurnakan 89 peratus hantaran pada aksi Liga Perdana Inggeris dan secara purata memenangi empat perebutan bola dalam perlawanan.
Beraksi sebagai pemain tengah, Zubimendi berjaya membentuk gandingan yang cukup baik bersama Declan Rice membantu benteng pertahanan selain memiliki tanggungjawab untuk merencanakan serangan The Gunners.
Kehilangan Martin Odegaard yang mengalami kecederaan membuka peluang buat Zubimendi untuk muncul sebagai ‘jeneral’ padang selain kemampuannya menghidu peluang jaringan membuatkan Arteta sedikit lega dalam misi untuk kekal menguasai carta. – AGENSI














