DUA ejen yang dikatakan membuat ‘onar’ dalam isu pemalsuan dokumen pemain warisan Harimau Malaya, Frederico Moraes dan Nicolas Puppo boleh dianggap ‘orang tengah’ yang cukup terkenal di rantau Amerika Selatan.
Hasil semakan Kosmo! di laman sukan transfermrket.com, Moraes antara ejen bola sepak prolifik di rantau terbabit apabila menjadi pengarah urusan syarikat Pro Manager Sports & Marketing.
Hampir sebahagian besar pemain yang berada di bawah agensi tersebut adalah tonggak bola sepak kelahiran Brazil termasuk dua tonggak kebangsaan skuad Selecao seperti Joao Pedro, Savinho dan Roger Ibanez.
Tiga pemain berbakat ini bukan ‘calang-calang’ kerana memiliki tanda harga yang lumayan seperti Pedro yang mewakili kelab Chelsea yang bernilai €65 juta (RM310.8 juta), Savinho (Manchester City) bernilai €50 juta (RM239.1 juta), Ibanez (Al Ahli) bernilai €17 juta (RM81.2 juta).
Selain itu, penyerang warisan Harimau Malaya, Joao Figueiredo yang kini mewakili skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) turut berada di bawah agensi yang seliaan Moraes.
Sementara itu, Puppo turut menjadi ejen bola sepak yang berdaftar dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang berkerja dengan agensi Elite Sports Management.
Agensi ini tidak memiliki tonggak yang memiliki nama besar seperti syarikat Moraes dengan kebanyakannya lahir di sekitar Argentina, Venezuela, Colombia dan Chile.
Antara pemain yang berada dalam agensi ini adalah seorang lagi pemain warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado yang mewakili kelab America de Cali selain bekas penyerang Newcastle United, Solomon Rondon.
Namun, apa yang menarik perhatian adalah agensi Puppo turut mengendalikan bekas bintang import JDT, Leandro Velazquez dan jurulatih Harimau Selatan, Benjamin Mora.
Sebagai rekod, keputusan Jawatankuasa Rayuan FIFA telah menyatakan nama dua ejen terbabit disebut yang mungkin berdepan siasatan selepas terpalit isu pemalsuan dokumen selain operasi dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Sebagai fokus awal, siasatan mesti meneliti peranan Setiausaha Agung FAM (Datuk Noor Azman Rahman) serta dua ejen yang disebut dalam prosiding ini – Nicolas Puppo dan Frederico Moraes.
“Pembabitan mereka menimbulkan kebimbangan serius yang memerlukan penelitian menyeluruh,” kata jawatankuasa berkenaan dalam laporan itu.














