SEBERANG PERAI – Seorang pemuda berdepan detik cemas apabila tersangkut atas pokok rambutan pada ketinggian enam meter ketika mahu mencantas dahan di Kampung Ayer Melintang Besar, Tasek Gelugor di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 26 tahun dilaporkan mengalami kecederaan pada tulang belakang akibat hentakan dahan yang dipotong.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM negeri, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 12.36 tengah hari dan operasi melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor.
“Komander Operasi membuat ‘size up’ dan membawa mangsa turun menggunakan tangga. Mangsa sakit pada belakang badan, namun dalam keadaan sedar,” katanya kepada pemberita. Mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut. -KOSMO! ONLINE















