PETALING JAYA – Kira-kira 5,015 mangsa daripada 1,848 keluarga di empat negeri terjejas dalam kejadian banjir ekoran hujan lebat setakat pukul 1 tengah hari tadi.
Menurut laman web Info Bencana JKM, ia membabitkan beberapa daerah di Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Kedah dengan 32 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Katanya, mangsa yang paling ramai terjejas adalah di Kelantan yang merekodkan seramai 4,399 orang daripada 1,693 keluarga.
“Sebanyak 22 PPS dibuka di Kelantan yang mana sebanyak 11 PPS di Kota Bharu yang menempatkan seramai 1,092 mangsa daripada 402 keluarga.
“Selain itu, seramai 2,307 mangsa dipindahkan di enam PPS di Tumpat, manakala 986 mangsa berlindung di empat PPS di Bachok serta 14 mangsa ditempatkan di sebuah PPS dekat Pasir Puteh,” katanya. – KOSMO! ONLINE















