MELAKA – Ramai rakyat Malaysia yang cuba keluar dari Hatyai, Thailand terpaksa berhenti dan berlindung di sebuah stesen rehat dan rawat, kira-kira 40 kilometer dari pintu sempadan, selepas laluan keluar kembali dinaiki air.
Keadaan dilaporkan semakin tertekan apabila bekalan makanan termasuk di kedai serbaneka 24 jam di hentian berkenaan habis, menyebabkan keluarga terkandas terutama kanak-kanak dan warga emas letih serta kelaparan.
Menurut salah seorang mangsa, Muhammad Hazwan Zammizi, 29, laluan itu pada mulanya masih boleh dilalui tetapi paras air sungai berhampiran meningkat dengan cepat sehingga melimpah ke jalan.
“Ikutkan tadi air boleh dilalui, tapi sungai tiba-tiba deras, semua patah semula sampai nampak kawasan rehat ini.
“Air laju sangat naik. Kami cuba bertahan sejak pukul 3 petang tadi, ramai yang lapar termasuklah kanak-kanak di sini. Tak sangka benda macam ni berlaku, lagi-lagi di negara orang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Katanya, sehingga kini cuaca masih hujan dan rakyat Malaysia yang terkandas hanya menunggu masa sesuai untuk meneruskan perjalanan keluar dari Thailand.
“Kami tunggu tengah pagi kalau hujan reda sikit dan kami boleh teruskan perjalanan.
“Setakat ini belum ada bantuan rasmi yang tiba untuk membawa rakyat Malaysia keluar dari kawasan berisiko termasuk daripada pihak tempatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















