PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsi pengalaman hampir ditipu oleh seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai anggota polis melalui panggilan video.
Menerusi hantaran pengguna Threads @Jelitarose46 berkata, dihubungi oleh lelaki tersebut yang mendakwa akan menyekat nombor telefon wanita berkenaan serta perlu melihat keadaan sekeliling.
“Scammer buat hal lagi. Siapa pernah kena? Pihak (polis) hubungi untuk sekat nombor telefon pukul 4.30 petang tadi (semalam).
“Saya kenalkan Sarjan Malik, penipu dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang,” ujarnya.
Hantaran tersebut memaparkan tangkap layar panggilan video antara wanita dan ‘scammer’ yang turut memakai lencana polis.
Menjengah ke ruang komen, ramai berkongsi pengalaman yang sama sekali gus menggesa tindakan sewajarnya dilaksanakan.
“Lelaki ini dah tipu ramai orang. Ada yang terpedaya dan ada yang selamat, tapi sampai sekarang pun masih belum ditangkap,” komen @Zack_caruso
“Asal baju biru sahaja, orang ingat polis. Pemandu kereta pun pakai baju biru,” komen @SitiShaiza
“Bila semua scammer ini nak ditangkap? Saya pun hampir terkena dengan ayat yang sama, siap suruh tutup ruang bawah pintu sebab tak nak bagi orang dengar,” @Nira.hzaky –KOSMO! ONLINE















