fbpx
Fizi Ali menyangkal dakwaan anaknya, Ameena Sofia jatuh sakit ketika mereka mengerjakan ibadah umrah.

‘Ameena sihat sahaja, dugaan apa kalian mengata saya sekeluarga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Memperjelaskan situasi, penyampai radio Hot FM, Fizi Ali menyangkal dakwaan anaknya, Ameena Sofia jatuh sakit ketika mereka mengerjakan ibadah umrah.

Fizi, atau nama lengkapnya, Mohd Hafizudin Alimudin, 36, berkata, Ameena berada dalam keadaan sihat, cuma seorang lagi anaknya yang berdepan masalah kesihatan.

“Hari terakhir di Mekah, dugaan apa yang kalian mengata saya sekeluarga? Ameena sihat-sihat sahaja, tak sakit pun. Anak lain yang sakit,” katanya dalam Instagram Story.

Menerusi hantaran sama, Fizi juga membalas dakwaan tidak menghubungi bekas isteri, Shakilla Khoriri berkenaan perkembangan Ameena sepanjang sembilan hari di Mekah dan Madinah.

Menurutnya, perkara tersebut adalah pilihan puterinya sendiri yang enggan menghubungi ibunya, sekali gus tidak wajar hal berkenaan dijadikan isu.

“Kenapa tak call (telefon)? Kami benarkan sahaja Ameena call atau video call, Ameena yang tak minta untuk call dan yang mak dia (Shakilla) kenapa tak call?

“Sebelum ini boleh sahaja mesej atau call terus Ameena. Kenapa nak jadikan isu?

“Takkan semua nak saya beritahu. Dekat sini nak kena uruskan tiga orang anak dan seorang isteri,” ujarnya.

Begitupun, bagi menjernihkan keadaan Fizi tampil memohon maaf jika terdapat kekhilafan daripada pihaknya.

“Hari-hari penuh aktiviti, perkara mudah kenapa nak sulitkan. Kalau ada salah daripada pihak kami, kami minta maaf.

“Izinkan kami habiskan sikit lagi hari-hari umrah dengan tenang,” katanya.

Terdahulu, Shakilla mengakui berkecil hati dengan tindakan Fizi yang tidak menghubunginya untuk berkongsi khabar Ameena sepanjang di Tanah Suci.

Pelakon drama Suri Hati itu berkata, dia tidak menerima sebarang perkembangan anaknya itu, sebaliknya hanya mengetahui menerusi hantaran di sosial media.

Untuk rekod, Fizi dan Shakilla mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2018 namun bercerai tiga tahun kemudian.

Hasil perkahwinan, pasangan tersebut dikurniakan seorang cahaya mata bernama Nurul Ameena Sofia yang kini berusia enam tahun.

Fizi kemudian mendirikan rumah tangga dengan ibu tunggal yang mempunyai seorang anak, Zulaikha. Pada 23 Oktober 2023 dan mereka dikurniakan cahaya mata perempuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN