fbpx
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan pertama di Bukit Mertajam, semalam. Foto IHSAN PDRM

Ahli kimia dadah dicekup di Bukit Mertajam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kegiatan licik satu sindiket memproses heroin di sebuah rumah sewa di Bukit Mertajam, dekat sini akhirnya terbongkar selepas polis menahan dua lelaki tempatan sekali gus merampas dadah bernilai lebih RM120,000, semalam.

Operasi selama lebih 12 jam itu dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang bermula pada pukul 4 petang 21 November hingga 5 pagi, 22 November lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, polis berjaya memutuskan rantaian pengedaran sindiket yang dipercayai bergerak senyap sejak Ogos lalu.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di sebuah kediaman di Bukit Mertajam, polis menahan seorang lelaki berusia 40 tahun yang berperanan sebagai ‘ahli kimia’ sindiket.

”Pemeriksaan lanjut menemui heroin dan heroin base anggaran berat 5,385 gram, 20 kilogram serbuk kafein, bahan kimia serta pelbagai peralatan untuk memproses dadah,” katanya di sini, malam tadi.

Jelasnya lagi, hasil soal siasat terhadap suspek pertama telah membawa kepada serbuan kedua di Kulim, Kedah dan menahan seorang lagi lelaki dipercayai bertindak sebagai ‘runner’.

”Pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan turut menemui 250 gram methamphetamine.

”Keseluruhan dadah yang dirampas mampu digunakan lebih 40,000 kali oleh penagih, sekali gus memberi impak besar terhadap rantaian bekalan dadah ke pasaran,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua suspek turut didapati positif morfin, amphetamine dan methamphetamine, selain mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Katanya, polis turut menyita sebuah motosikal Honda Vario bernilai RM9,800 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dan sitaan mencecah RM130,400.

”Kedua-dua suspek direman tujuh hari sehingga 28 November untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika disabitkan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI