JASIN – Seorang lelaki maut, manakala adiknya parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar penghadang besi di Kilometer 182.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa,yang berusia 22 tahun meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala, manakala adiknya berusia 20 tahun cedera di badan serta tangan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, ketika kejadian, dua beradik tersebut yang menaiki kereta jenis Honda Civic dalam perjalanan dari Johor menuju ke Melaka.
“Kereta yang dipandu si adik terbabas dan melanggar penghadang besi sebelum terbalik ke kiri. Mangsa cedera di bahagian badan dan dikejarkan ke Hospital Melaka, manakala abangnya disahkan meninggal dunia di lokasi,” ujarnya.
Mayat pemuda itu dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE















