PADANG BESAR – Hujan lebat sejak awal pagi menyebabkan beberapa laluan utama di daerah ini ditutup kepada semua kenderaan ringan selepas paras air meningkat secara mendadak.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, langkah itu dibuat bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya susulan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di daerah ini.
Antara laluan terlibat ialah Jalan Kaki Bukit-Batu 16, Simpang Tiga Kok Mak, jalan menghala ke Wang Kelian, Jalan Kampung Chantek-Kaki Bukit, Jalan Titi Tinggi, Jalan Gua Kelam serta Jalan Kangar-Padang Besar berhampiran Taman Agrovet Perlis.
“Selain itu, berlaku juga runtuhan tanah di Jalan Wang Kelian akibat hujan lebat menyebabkan laluan berkenaan ditutup sepenuhnya sehingga kerja-kerja pembersihan dan penilaian keselamatan selesai,” katanya.
Hujan berterusan sejak awal pagi turut menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air. Tiga pusat pemindahan sementara dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Tinggi, SK Lubuk Sireh dan Masjid Nurul Husna, Wang Kelian bagi menempatkan mangsa yang terjejas. – KOSMO! ONLINE















