fbpx
Ujar Norman, 53, bapanya yang kini berusia 84 tahun itu dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman baru-baru ini.

’50-50 nak teruskan konsert, ayah kami kritikal masuk wad..’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bergelut dengan emosi, Datuk Norman Abdul Halim mengakui hampir menarik brek pada saat akhir untuk membatalkan konsert GenKRU The Finale: One More Time susulan keadaan kesihatan bapa tersayang, Abdul Halim Kamal yang disahkan kritikal tiga minggu lalu.

Ujar Norman, 53, bapanya yang kini berusia 84 tahun itu dimasukkan ke hospital akibat jangkitan kuman ketika mereka tiga beradik sedang sibuk mengurus persiapan konsert penutup tirai 2025 itu.

“Saya sebak ketika konsert sewaktu Edry menyebut tentang ayah kami. Saya pada awalnya sudah 50-50 sama ada mahu meneruskan konsert ini atau tidak.

“Sebab ayah saya kritikal beberapa minggu lalu. Dia dimasukkan ke dalam wad tiga minggu lepas. Dalam membuat persiapan, otak saya sangat semak.

“Dalam pada menjalani latihan, saya ulang-alik ke hospital untuk melawat dan lihat keadaan ayah,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah Norman, mereka adik-beradik sedikit terkilan kerana hasrat bapa untuk hadir ke konsert tidak kesampaian, namun bersyukur insan tercinta itu kini menunjukkan perkembangan positif.

“Ayah sebenarnya teruja menanti konsert ini. Dia selalu cakap konsert kali ini lebih besar, lebih gah berbanding Axiata Arena.

“Tapi saya pujuk ayah supaya jangan risau. Orang terlalu ramai, bimbang dia tak selesa.

“Saya cakap insya-Allah kami ada lagi persembahan atas kapal persiaran. Suasana lebih tenang dan ayah tak perlu bimbang soal cuaca,” ujarnya pada sidang media usai konsert.

Drama malam itu tidak terhenti di situ apabila Edry Abdul Halim dimaklumkan tiba-tiba mengalami kekejangan otot dan muntah sebaik selesai persembahan sebelum memaksa diri bertemu media dalam keadaan berpapah.

“Saya mohon maaf tak boleh lama.

“Saya alami kekejangan selepas konsert. Mungkin terlalu penat dan kurang makan,” katanya ringkas.

Konsert GenKRU The Finale: One More Time menarik kira-kira 10,000 penonton yang menyaksikan trio itu mendendangkan 16 lagu termasuk kejutan penampilan kumpulan Rabbani menerusi Intifada.

Kemunculan Juliana Banos bersama Edry menerusi Sehidup Semati pula mengubati rindu peminat, selain persembahan kumpulan Elite serta kemunculan khas Leona dan Datuk Seri Vida. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN