NARATHIWAT, THAILAND – Sekurang-kurangnya 42 rakyat Malaysia termasuk kanak-kanak yang terperangkap akibat banjir besar melanda Hatyai dekat sini diarah keluar dari hotel penginapan mereka pagi tadi.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu hari ini.
“Kami dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pihak tertentu. Perkara berkenaan sepatutnya tidak berlaku dalam keadaan banjir besar sekarang.
“Bagaimanapun, kami mendapat bekerjasama daripada Presiden Persatuan Hotel Hatyai Songkhla, Dr. Sitthipong Sitthiphataraprabha yang bersetuju menempatkan semua rakyat Malaysia terbabit di sebuah hotel lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, beliau bersama beberapa pegawai kanan konsulat Malaysia kini berada di Hatyai untuk menguruskan bantuan kepada rakyat Malaysia yang terperangkap dengan kerjasama persatuan hotel berkenaan.
Menurutnya, pihak konsulat juga bekerjasama dengan Presiden Pasukan Sukarelawan Tong Sia Siang Teung, Arunchai Sirimahachai untuk menyediakan bantuan makanan kepada rakyat Malaysia yang terperangkap.
“Beritahu lokasi anda (rakyat Malaysia) berada di Hatyai. Pihak konsulat akan bekerjasama dengan pasukan sukarelawan tempatan untuk menghantar bantuan termasuk makanan dan minuman.
“Rakyat Malaysia di Hatyai yang bercadang pulang ke Malaysia sama ada melalui jalan darat atau udara boleh menghubungi konsulat untuk maklumat lanjut.
“Kami bekerjasama dengan beberapa pihak untuk memudahkan pengangkutan pulang ke Malaysia. Sudah ada rakyat Malaysia yang pulang melalui Sadao-Bukit Kayu Hitam hari ini,”katanya. – KOSMO! ONLINE















