CHICAGO, ILLINOIS – Sekurang-kurangnya lapan remaja cedera selepas penyerang bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah festival bagi menyalakan pokok Krismas di negeri Illinois, lapor akhbar Mirror UK.
Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya seorang mangsa turut terbunuh dalam satu lagi insiden tembakan rambang semalam.
Tembakan berlaku sekitar pukul 9.50 malam (waktu tempatan) di Chicago Loop, beberapa jam selepas acara menyalakan pokok Krismas di Taman Millennium berlangsung.
Jabatan Polis Chicago berkata, kesemua mangsa yang ditembak berumur antara 13 hingga 17 tahun.
Ahli politik tempatan, Alderman Hopkins mengesahkan bahawa beberapa anggota polis turut ditembak dengan salah seorang daripada mereka dikejarkan ke hospital.
“Acara itu diserbu seramai 300 juvana. Sekurang-kurangnya 5 orang cedera dengan seorang mangsa parah akibat ditembak di badan. Beberapa anggota polis turut diserang dan dicederakan dengan senjata api,” kata Hopkins di platform X.
Wartawan tempatan, Courtney Spinelli berkata, beberapa orang melihat kumpulan remaja merusuh di jalanan sebelum mendengar beberapa das tembakan dilepaskan berhampiran Teater Chicago.
Mangsa paling muda merupakan seorang remaja perempuan berumur 13 tahun yang ditembak di kaki.
Seorang saksi kejadian, Linda Dixon berkata: “Kami baru sahaja keluar dari teater dan melihat orang ramai berlari. Saya tidak pasti apa yang berlaku tetapi ia sangat menyedihkan.” – AGENSI














