BUKIT KAYU HITAM – “Sekarang masih hujan, air makin naik dan banyak kawasan arus kuat. Air dah masuk ground floor hotel.”
Demikian perkongsian pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Mimi Nadzirah Afiqah Md. Suhaimi yang ketika ini terkandas di Wangburapa Grand Hotel, Hatyai akibat banjir.
“Alhamdulillah kami di tingkat lima hotel. Kawasan luar hotel dan sekitar termasuk jalan raya memang air naik. Trak pikap pun dah tak boleh lalu di kawasan hotel ini sebab air memang dah tinggi, melebihi kapasiti trak,” katanya.
Menurutnya, dia dan pelajar lain terpaksa berdepan keadaan tanpa bekalan elektrik sejak awal pagi dan baru sahaja terputus bekalan air.
“Selain itu, kami juga tiada bekalan makanan berat, hanya ada makanan ringan seperti roti yang sangat terhad. Talian komunikasi di sini tidak stabil menyebabkan sukar untuk berhubung.
“Namun begitu, keadaan pelajar dan staf masih terkawal. Kami cuba bertahan dengan apa yang ada,” ujarnya.
Dia berharap agar ada bantuan disalurkan, terutamanya bekalan makanan.
“Kami belum dapat sebarang bantuan bekalan makanan dari mana-mana pihak dan ketika ini hanya bergantung kepada bekalan sedia ada yang sangat terhad,” tambahnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seramai 36 pelajar dan empat pensyarah UUM turut terkandas dalam banjir besar di Hatyai, Thailand.
Kesemua pelajar dan pensyarah pengiring daripada Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) berada di sana bagi mengikuti program Thai-MYS Cultural Exchange Programme 2025. – KOSMO! ONLINE















