BUKIT KAYU HITAM – “Pihak konsulat meminta kami jangan risau kerana mereka telah memaklumkan kepada pihak berkuasa untuk hantar bantuan”
Demikian kata Wan Nur Asyikin Wan Azemim, 30-an, yang terkandas di sebuah hotel di Hatyai akibat banjir, hari ini.
Katanya, pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla memaklumkan mereka tidak dapat masuk ke Hatyai kerana jalan tutup. “Buat masa ini ada makanan seperti biskut untuk dua anak saya, saya sendiri tidak makan lagi sejak malam tadi.
“Lapar tetapi tak rasa sangat sebab risau fikirkan anak-anak,” katanya ringkas.
Terdahulu, dia memaklumkan keadaan banjir di Hatyai semakin buruk dengan paras air meningkat.
Selain tiada makanan, bekalan susu dan lampin pakai buang untuk bayinya berusia sembilan bulan hanya cukup sehingga esok.
Sementara itu, rakyat Thailand, Che-Amah Yisalaeh, 43, berkata, hampir seluruh Hatyai telah ditenggelami banjir.
“Sekarang masih hujan dan kami tak boleh nak bergerak pergi mana pun sebab air dalam, makan-makan pun tidak ada,” katanya. – KOSMO! ONLINE















