MELAKA – “Kami sudah maklumkan konsulat semua maklumat, tetapi sehingga kini masih tiada sebarang bantuan tiba,” luah Muhammad Hazwan Zammizi, 29, salah seorang rakyat Malaysia yang terkandas bersama sembilan ahli keluarganya dalam banjir di Hatyai, Thailand.
Menurut Muhammad Hazwan, dia telah menghubungi pegawai bertugas di Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sekitar pukul 12 tengah hari tadi untuk memaklumkan keadaan mereka.
Ujarnya, pihak berwajib kemudian meminta mengemas kini jumlah semua ahli keluarga yang berada di lokasi terjejas dan menjanjikan bantuan makanan serta perubatan akan diusahakan.
“Dia minta kemas kini maklumat semua keluarga yang ada. Dia cakap daripada segi makanan dan perubatan boleh bantu, tetapi sampai sekarang tak ada apa-apa bantuan tiba dari pukul 12 tengah hari,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Tambahnya, pihak hotel bagaimanapun ada memberi makanan pada pukul 4 petang tadi, manakala bekalan air minuman semakin berkurangan.
“Kami dah beberapa jam bergelap kerana pihak hotel putuskan bekalan elektrik. Kami pun dah tak tahu nak buat apa sekarang.
“Hujan masih tak berhenti, siap dengan angin kuat lagi,” ujarnya yang bimbang keselamatan keluarganya. – KOSMO! ONLINE














