fbpx
ZALIMAN (tengah) bersama pimpinan pelajar UniMAP semasa majlis penyerahan watikah pelantikan di kampus induk universiti itu di Arau baru-baru ini.

UniMAP serah kuasa autonomi pilih pemimpin mahasiswa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada mahasiswa untuk memilih barisan kepimpinan mereka selaras pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, langkah itu memperkukuh budaya demokrasi kampus dan membina asas kepimpinan yang matang dalam kalangan pelajar.

“Autonomi ini memastikan pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) dan Persatuan Pelajar Fakulti (PPF) benar-benar ditentukan mahasiswa sendiri.

“Setiap proses ini mengasah kemahiran membuat keputusan serta memupuk integriti dalam kalangan pemimpin muda,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, pemba­ngunan kepimpinan mahasiswa menjadi teras dalam Pelan Strategik UniMAP sejak 2020.

“Pelan strategik itu berjaya memperkukuh pengalaman kampus holistik dan menyumbang kepada kadar kebolehpasaran graduan 98.9 peratus pada 2024.

“Fokus baharu 2026-2030 memberi penekanan kepada pemetaan bakat, perspektif global dan kerjasama industri,” ujarnya.
Katanya, pendekatan itu memastikan mahasiswa dibekalkan kemahiran masa depan serta kemampuan me­mimpin dalam pelbagai lapa­ngan.

UniMAP turut menyediakan platform pembangunan pelajar melalui program berimpak tinggi seperti SUKA@PERLIS, VISION-X dan I-FUTURE@UniMAP.

Program tersebut menyokong pembinaan sahsiah, kepimpinan, kesukarelawanan dan patrio­tisme secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Yang Dipertua MPP Sesi 2025/2026, Muhammad Akram Ariff Shahruddin dipilih untuk tahun kedua berturut-turut selepas menerima mandat daripada majoriti mahasiswa.

Muhammad Akram Ariff berkata, tanggungjawab yang perlu dipegang adalah besar dan harus dijunjung dengan komitmen tinggi demi kebajikan mahasiswa.

Katanya, pemimpin mahasiswa bukan sahaja membawa suara pelajar, tetapi memastikan agenda pembangunan dilaksanakan secara inklusif serta berimpak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI