PETALING JAYA – Satu hantaran tular di Facebook hari ini apabila seorang rakyat Malaysia memohon bantuan kecemasan setelah terperangkap banjir di Siam Oriental Hotel, Hatyai.
Mangsa yang berada di tingkat 15, bilik 1514 memaklumkan keadaan semakin kritikal selepas bekalan elektrik terputus dan lif hotel tidak lagi berfungsi, memaksa mereka menggunakan tangga bangunan.
Menurut hantaran tersebut, mereka kini berdepan kehabisan keperluan asas termasuk susu untuk kanak-kanak berusia dua dan empat tahun, lampin pakai buang, makanan serta air mineral.
“Kami tak dapat balas semua mesej sebab bateri nak habis, tinggal 10 peratus saja. Elektrik dah `stop’, lif tak boleh guna.
“Ramai lagi di sini ada bayi. Kalau kami diam, tanda bateri dah habis,” tulis individu berkenaan.
Keadaan menjadi lebih mencemaskan apabila mangsa mendakwa terdapat ramai lagi rakyat Malaysia dan keluarga yang turut terperangkap di hotel sama tanpa bekalan makanan dan keperluan asas.
Hantaran tersebut kini mendapat perhatian ramai yang berharap pihak berkuasa Malaysia dan Thailand dapat menyelaras bantuan segera kepada mangsa terlibat.- KOSMO! ONLINE.















