JAKARTA – Seorang pekerja kurier di Sidoarjo, wilayah Jawa Timur mengundang perhatian orang ramai kerana sanggup meredah banjir demi menghantar bungkusan kepada pelanggan dengan menggunakan tilam udara, lapor portal berita Lambe Turah.
Kejadian dirakam di kejiranan Sidokare kelmarin.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @gabriellaisyah menunjukkan pekerja terbabit menarik tilam udara yang penuh dengan barang pelanggan.
Dia sanggup membasahkan dan mengotorkan seluarnya meskipun air banjir mencapai paras peha orang dewasa.
Hujan lebat berterusan sejak Selasa lalu menyebabkan air naik dengan pantas, lapor laman berita Detik semalam.
Rakaman itu mencatatkan lebih 1.5 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Demi memuaskan hati pelanggan,” kata seorang netizen.
“Status bungkusan: sedang meredah banjir,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI















