BUKIT KAYU HITAM – “Saya bersama tiga lagi rakan cuba cari susu bayi sebab nak bantu kenalan yang dalam kesusahan tetapi kedai tutup, air pula ada cecah paras dada.”
Pengurus Besar Cuti Cuti Langkawi Sdn. Bhd. (Cuti Cuti Langkawi), Dr. Baharin Baharom berkata, sebaik menerima maklumat tentang kenalannya itu, dia bergegas keluar dari hotel untuk menghulurkan bantuan.
“Di hotel kami, banjir paras lutut tetapi bila menghampiri hotel didiami kenalan, air semakin dalam hingga paras dada. Jaraknya hanya 1.4 kilometer tetapi ambil masa hampir dua jam,” katanya.
Dr. Baharin berkata, mereka bagaimanapun terpaksa berpatah balik apabila pihak berkuasa dan orang ramai memaklumkan laluan di situ berbahaya kerana banyak longkang tidak berpenutup.
Menurutnya, dia bersama sembilan kakitangan Cuti-cuti Langkawi berada di situ bagi lawatan jaringan usaha sama pakej pelancongan Langkawi dan Selatan Thailand.
“Pihak hotel dengan kerjasama ejen pelancongan Thailand telah mengagihkan makanan halal untuk makan tengah hari dan malam secara percuma kepada pelancong yang terkandas di sini.
“Buat masa ini, semua berada di hotel penginapan dan sedang menunggu perkembangan berita daripada pihak berkuasa Thailand,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














