fbpx
Saifuddin ketika menganugerahkan DKPP kepada Hussein dan Yusri di PICC, Putrajaya hari ini

Pengarah JSJ, JSPT antara penerima DKPP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Seramai 209 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima penganugerahan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis (DKPP) 2025 dalam satu istiadat penuh berprestij di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Majlis tersebut menyaksikan penganugerahan lima kategori Darjah dan Pingat Kepahlawanan Pasukan Polis, melibatkan Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada tiga penerima.

Selain itu Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP) (31 penerima), Pahlawan Pasukan Polis (PPP) (102 penerima), Kesatria Pasukan Polis (KPP) (46 penerima) dan Bentara Pasukan Polis (BPP) (27 penerima).

Antara yang mendahului senarai penerima ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata, penganugerahan DKPP adalah pengiktirafan tertinggi terhadap keberanian, kecekalan dan komitmen pegawai serta anggota PDRM dalam memikul amanah menjaga keselamatan negara.

“Penganugerahan ini melambangkan penghargaan Kerajaan Madani terhadap pengorbanan yang sering tidak didendangkan, melibatkan risiko, kepayahan bertugas dan kesetiaan tanpa berbelah bahagi demi amanah negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Tambah KDN, darjah dan pingat yang dikurniakan bukan sekadar lambang kemegahan, sebaliknya menjadi peringatan bahawa tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam menuntut iltizam tinggi, disiplin serta keberanian luar biasa di lapangan.

Istiadat tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Awang Alik Jeman, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah berkenan untuk mengurniakan Pingat Darjah Kepahlawan Pasukan Polis (DKPP) Tahun 2025 kepada 100 penerima pada 22 Oktober lalu di Istana Negara.

Baki penerima dititah oleh Sultan Ibrahim untuk disampaikan sendiri oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI