JASIN – Sepasang suami isteri warga emas maut, manakala anak perempuan mereka parah selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar penghadang besi di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Sungai Rambai, petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, pasangan berusia 87 dan 79 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Anak mereka berusia 46 tahun yang memandu kereta terbabit jenis Toyota Vios parah pada bahagian muka.
Menurut sumber, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki tiga beranak itu yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Muar, Johor telah hilang kawalan sebelum melanggar penghadang besi di sebelah kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu pasangan warga emas terbabit tersepit di dalam kereta dan berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba.
“Mereka bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan, manakala anak perempuan parah dah dikejarkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar dengan menaiki ambulans,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambahnya, pemandu wanita terbabit merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah di Muar dan waris keluarga tersebut telah pun dikesan.
“Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin untuk prosses bedah siasat yang dijangka dilakukan pada pukul 9 malam ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE















