
PARIT – Jajaran Sungai Perak terutamanya dari daerah Gerik sehingga ke Parit yang kaya dengan ikan liar dan bersifat eksotik seperti terubuk sungai, temoleh, kelabau, tenggalan, patin, baung, jelawat dan ketutu menjadi lubuk rezeki kepada 25 komuniti nelayan Kampung Teluk Perang, di sini sejak lebih 10 tahun lalu.
Menurut seorang nelayan dan peraih ikan sungai liar, Mohammad Shahrul Buari, 38, keadaan Sungai Perak yang tidak tercemar membuatkan spesis ikan liar membiak dengan baik, membolehkan nelayan menjana pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.
“Sebagai contoh, ikan terubuk sungai, temoleh, kelabau, tenggalan dan ketutu boleh mencapai sehingga RM150 sekilogram mengikut gred. Jika ada nelayan dapat seekor atau dua ekor dalam sehari, ia ibarat bulan jatuh ke riba.
“Syukur, nelayan di sini dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka dan stigma lampau bahawa golongan ini berada di bawah paras kemiskinan telah berubah sekian lama,” katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.
Jelas beliau, nelayan memainkan peranan penting bagi memastikan sekuriti makanan terutamanya melibatkan hasil sungai sentiasa konsisten untuk rakyat.
“Sekarang timbul trend iaitu kaum Melayu, Cina dan India teruja untuk menikmati ikan-ikan sungai liar ini, mungkin kerana ingin mengembalikan nostalgia pada zaman kanak-kanak dahulu yang membuatkan trend itu kembali.
“Justeru, saya membentuk strategi baharu dengan bertindak sebagai peraih yang mana nelayan sekitar negeri ini menjual secara terus di premis saya untuk belian secara tunai supaya mendapat pusingan modal secara konsisten selain kerap turun ke sungai sekiranya cuaca mengizinkan,” katanya.
Tambah Mohamad Shahrul, peranan media sosial seperti Facebook dan Whatsapp Business benar-benar membantu untuk menjangkau pembeli dari seluruh negara.
“Ini ibarat penjenamaan untuk ikan sungai liar Perak dan saya turut menyediakan perkhidmatan memotong, menyiang, membuang isi perut tidak diperlukan, serta pembungkusan secara sejuk beku untuk memastikan kualiti terpelihara.
“Setiap pembungkusan terdapat tanda harga dan telah siap tersedia ibarat konsep pandu lalu yang memudahkan pelanggan. Saya pernah memperoleh pendapatan kasar sehingga RM5,000 sebulan,” katanya.
Ujarnya, Jabatan Perikanan Perak banyak membantu komuniti nelayan dengan memberikan khidmat nasihat selain menubuhkan myKomuniti Perikanan (myKP)yang memperkasa penglibatan komuniti dalam usaha pemuliharaan, pengurusan sumber perikanan serta pembangunan ekonomi berkaitan perikanan secara bersepadu dan mampan.
“Ia meningkatkan kesedaran dan pengetahuan komuniti terhadap kepentingan sumber perikanan dan ekosistem akuatik serta membina jaringan kerjasama antara komuniti dan agensi kerajaan dalam pengurusan sumber perikanan tempatan.
“Selain itu, myKP menyediakan platform latihan, bimbingan dan sokongan kepada komuniti dalam pemprosesan hasil, teknologi perikanan, serta aktiviti ekonomi tambahan selain berperanan sebagai mata dan telinga komuniti dalam menangani isu pencerobohan, pencemaran dan penangkapan haram,” katanya.
Jelasnya, Jabatan Perikanan Perak juga sedang dalam proses membina jeti nelayan dengan kos sekitar RM200,000 untuk kemudahan nelayan setempat.
Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche daerah Perak Tengah sebagai Koridor TVET Malaysia dengan tumpuan utama industri asas makanan.
Bantuan itu juga selaras dengan flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan flagship kelima, Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan dan visi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membawa negeri ke arah kemajuan menyeluruh berteraskan kemampanan dan kesejahteraan rakyat.














