VALENCIA, Sepanyol – Pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez akhirnya menerima ‘habuan’ ekoran prestasi cemerlang musim ini dengan meraih tempat kedua keseluruhan selepas turun menguji jentera Ducati spesifikasi kilang buat kali pertama.
Naib juara dunia 2025 itu menamatkan sesi ujian di tempat ketiga terpantas selepas melengkapkan 53 pusingan, sambil menguji beberapa komponen baharu termasuk pakej aerodinamik yang bakal menjadi asas pembangunan musim depan.
Alex yang menamatkan saingan musim 2025 di tempat kedua bakal menerima jentera spesifikasi kilang daripada Ducati untuk musim 2026 untuk menyamai pakej yang diberikan kepada Marc Marquez, Bagnaia dan Fabio Di Giannantonio.
Apabila ditanya mengenai perbezaan antara jentera GP25 yang baru diujinya dengan jentera GP24 yang digunakan sebelum ini, Alex menyifatkan jentera tersebut mempunyai potensi serupa.
“Saya masih perlukan lebih banyak pusingan sebelum boleh memberitahu anda mengenai jentera ini.
“Ada beberapa komponen berbeza, tetapi ia lebih kepada ujian untuk melihat arah tuju yang perlu diambil dan bagaimana untuk menggabungkan semuanya,” katanya.
Ujian itu memberinya peluang pertama untuk memahami masalah yang sering diperkatakan Pecco Bagnaia mengenai jentera GP25 sepanjang musim ini.
“Saya tidak tahu jentera apa yang dia tunggang, saya tidak tahu sama ada jentera yang saya tunggang hari ini adalah yang sama digunakannya sepanjang musim.
“Saya rasa bagus, selesa sejak sesi pertama lagi. Saya tidak mahu tahu apa masalah yang dia hadapi. Saya hanya fokus kepada diri sendiri dan kami berjaya mendapatkan banyak maklumat selepas ujian kali ini,” ujar Alex. – AGENSI















