fbpx
Pengecualian cukai bagi kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU), bakal tamat pada 31 Disember ini.

Masa tepat beli EV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

UMUM mengetahui pengecualian cukai bagi kenderaan elektrik (EV) yang diimport sepenuhnya (CBU), yang bermula di bawah Belanjawan 2022 dan telah dilanjutkan sebanyak dua kali bakal tamat pada 31 Disember ini dan tidak akan disambung lagi.

Justeru, pengimport EV perlu lebih agresif melaksanakan aktiviti pemasaran dan promosi untuk menghabiskan stok EV CBU mereka menjelang hujung tahun, kerana sebarang lebihan stok perlu dijual pada harga yang jauh lebih tinggi tahun depan.

Bagi peminat yang sudah lama mengintai model EV CBU impian masing-masing, mungkin sekarang saat terakhir untuk mendapatkan kenderaan idaman mereka pada harga semasa dengan pengecualian cukai import dan duti eksais akan berakhir.

Pun begitu, wujud beberapa faktor yang memerlukan pertimbangan bakal pembeli sebelum memanfaatkan jualan harga runtuh yang semakin hebat ditawarkan pelbagai pengeluar.

Ini terutamanya dari segi ketersediaan alat ganti untuk jangka masa panjang, selain perkhidmatan selepas jualan dan nilai jualan semula.

Pada masa sama, peminat mungkin tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat keputusan memandangkan bagi EV pemasangan tempatan (CKD), pengecualian duti eksais dan cukai jualan masih diteruskan sehingga 31 Disember 2027.

Beberapa pengeluar EV terkemuka telah pun mengumumkan komitmen mereka untuk pengeluaran tempatan, antaranya BYD yang merancang untuk menubuhkan kilang pemasangan di Tanjung Malim, Perak.

Selain itu, terdapat juga model EV jenama nasional seperti Proton e.MAS 7 dan terbaharu, e.MAS 5 yang akan terus mendapat manfaat pengecualian cukai tahun hadapan, termasuk model EV Perodua yang dijangka dilancarkan hujung tahun ini.

Menurut Pengasas dan Presiden Kelab Pemilik EV Malaysia, Datuk Shahrol Halmi, buat masa ini, pasaran dilihat sebagai sangat kompetitif dan para pengimport sedang menawarkan tawaran yang sangat menarik kepada pengguna, menjadikannya masa yang sesuai untuk memanfaatkan pelbagai pilihan EV yang tersedia di pasaran sekarang.

“Pun begitu, terdapat beberapa kebimbangan mengenai sokongan selepas jualan terutamanya melibatkan jenama-jenama yang lebih kecil, yang mungkin tidak lagi bersifat kompetitif untuk meneruskan operasi mereka di Malaysia selepas tempoh pengecualian cukai tamat.

“Model-model tertentu ini perlu dijual pada harga diskaun yang tinggi untuk menarik pembeli, yang seterusnya akan menjejaskan nilai jualan semula,” katanya.

Beliau turut menasihatkan bakal pembeli supaya membuat keputusan dengan berhati-hati dan mengetahui tahap keperluan dan kemampuan masing-masing sebelum membuat pembelian sama ada tahun ini, atau pada masa akan datang.

“Ia perlu bergantung kepada keperluan. Kita pun masih belum mengetahui akan harga EV CKD tahun depan, dengan pengiraan baharu OMV (kaedah pengiraan baharu open market value bagi kenderaan CKD yang dikatakan bakal bermula tahun depan berpotensi meningkatkan harga jualan).

“Kalau perlu ganti kereta tahun ini, boleh beli. Kalau boleh tahan lagi, tunggu tahun depan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN